Kami ditindas: Kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak tampak

Setiap kali mendengar laungan ‘kami ditindas’, saya akan teringat peribahasa ini iaitu ‘kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak tampak’.

Kenapa peribahasa tersebut? Sebab tak habis-habis dengan tindakan menyalahkan pihak lain tapi kealpaan diri sendiri tak dibincang. Adakah langsung tiada masalah dalam komuniti sendiri atau betul ditindas? tertanya-tanya saya.

Dakwaan yang berputik sejak kejadian protes jalanan 2007 masih mekar dan sebati jauh dalam jiwa segelintir dari pelbagai latar belakang.

Apa yang saya nampak ialah watak berbeza tetapi naratif sama diulang hingga kiamat. Mari kita lihat siapa menindas siapa sebenarnya. Adakah mereka yang menganggap dirinya sebagai’suara wakil komuniti’ mencari solusi atau hidup dalam ilusi?

Terlebih dahulu ingin ucapkan Salam sejahtera dan Salam perpaduan kepada semua sahabat. Akhirnya dapat juga saya kongsikan artikel ini selepas hilang seketika akibat beberapa urusan dan aktiviti penting.

Sebenarnya dah lama juga nak ulas mengenai isu kontroversi ini yang selalu diuatarakan oleh sebilangan masyarakat India apabila timbul masalah, yang pada pendapat saya tidak betul dakwaan.

Jadi kali ini apabila melihat hantaran bersifat ‘perkauman’ oleh seorang pemimpin india berpendidikan tinggi sebuah parti golongan muda ditambah pulak dengan artis muda yang gunakan platform seni untuk melakukan ‘propaganda penindasan’, saya merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk saya sentuh bab ini.

TUJUAN PERKONGSIAN & HARAPAN

Sebelum ke ceritanya ingin saya tekankan bahawa artikel ini ditujukan kepada segelintir individu, pemimpin dan kumpulan india yang sentiasa menyalahkan pihak lain dan lepas tangan dengan laungan ‘penindasan’.

Saya harap kelompok ini mula berfikir dan berganding bahu bersama dengan semua untuk mencari jalan penyelesaian.

Kepada sebahagian sahabat saudara Indiaku yang sedar serta mahukan perubahan, marilah kita sama-sama bekerjasama, tunjuk teladan melalui tindakan.

Kepada sahabat-sahabat Melayu pulak, saya ingin katakan satu sahaja iaitu teruskan sokong dan berkerjasama dengan sahabat-sahabat india yang sehati sejiwa negara.

Ada ramai tu, ramai sahabat india di luar sana yang pernah dan tengah berkhidmat serta menabur jasa dalam pelbagai bidang untuk negara tercinta Malaysia.

Jangan akibat perbuatan segelintir yang kurang matang, kita bergaduh sesama sendiri dan menyemai benih kebencian kerana dalam setiap bangsa ada sebilangan kecil ‘rasis’ yang selalu menjadi batu api.

Tak kira Melayu, India ataupun Cina, ajar anak-anak dan sekeliling mengenai kebaikan berbanding keburukan. Perubahan bermula dari kita. Jadi jika kita inginkan suasana yang harmoni, sejahtera maka adalah tanggungjawab semua untuk bersatu padu dan sama-sama mencari jawapanya.

Perkongsian ini bukan bertujuan menghina atau merendahkan sesiapa tetapi lebih kepada kesedaran, memberi maklumat dan sebagai rujukan untuk semua di masa hadapan.

Saya mengulas mengenai isu ini berdasarkan pengalaman saya dalam khidmat sosial sejak beberapa tahun lepas dengan pelbagai pihak berkepentingan dari individu, ngo, badan politik dan yang berkaitan dari pelbagai latar belakang.

Jadi saya percaya, saya mempunyai sedikit kelayakan dan pengetahuan untuk menyentuh bab ini daripada segelintir yang terus menjadi ‘suara wakil kaum india’ dalam sehari tanpa apa-apa pengetahuan, pengalaman.

Saya juga sentiasa bersedia dan berani semuka mana-mana pihak untuk tujuan perbincangan mahupun berdebat mempertahankan kenyataan saya dengan fakta dan solusi.

SEJARAH AWAL DAN DEFINISI INDIA

Sudah 50 tahun lebih sejak salah satu tokoh kemerdekaan, pembangunan dan perpaduan negara iaitu Tun V.T. Sambanthan katakan bahawa, “masyarakat india terutama etnik Tamil suka sembang besar dan sentiasa mengeluh daripada bertindak atau mencari solusi berbanding masyarakat Cina yang jauh maju ke hadapan oleh sikap berdikari mereka di mana mereka juga salah satu kumpulan migran”.

Jadi nampaknya, walaupun negara sudah merdeka, walaupun negara telah melalui pelbagai fasa perubahan politik serta sosial, walaupun komuniti india telah diketuai oleh pelbagai pemimpin dari pelbagai latar belakang, walaupun berlaku protes jalanan yang kejutkan negara pada tahun 2007, walaupun mempunyai ramai profesional, golongan kaya dan elit, walaupun mempunyai akses kepada segala kemudahan asa dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan, TETAPI segelintir masih menganggap diri mereka ditindas dan minda masih belum merdeka.

Secara spesifiknya siapa india dan kenapa kaum ini kompleks ?

Satu soalan yang selalu bermain di minda sahabat-sahabat Melayu dan Cina. Sebenarnya tidak ada kaum atau bangsa bernama India.

India hanya merujuk kepada Kesatuan Negara India merangkumi ratusan budaya, bahasa dari 28 negeri. Nama ‘Kaum India’ digunakan untuk tujuan pentadbiran British yang mengolongkan sekali kumpulan pelbagai etnik yang datang dari benua India ke Tanah Melayu.

Jadi etnik majoriti terbesar dalam minoriti kaum india ialah Tamil diikuti Telugu, Malayalee, dan Punjabi Sikh. Sikh selalunya gemar duduk di luar kategori India disebabkan mereka percaya identiti mereka berlainan dengan India.

Dalam etnik Tamil, Telugu dan Malayee pula ada beberapa pecahan kasta dan kelas sosial untuk majoriti mereka yang beragama hindu. Kurang jurang antara kasta atau sosial dalam Malayalee atau Telugu tetapi terdapat perbezaan yang ketara dalam etnik Tamil.

Dalam Tamil sahaja ada Tamil India merangkumi penganut agama Hindu dan Kristian, Tamil Ceylon, Tamil Muslim / India Muslim.

Tamil Hindu ada pecahan kasta seperti Chetty, Pillai, Gounder, Vanniyar, Thevar, Kalar, Paraiyar, Nadar, Vellalar dan banyak lagi.

Tamil Ceylon pulak golongan elit yang mendapat pendidikan British di Sri Lanka.

Tamil Muslim bersatu di bawah pegangan agama dan kekalkan identiti bahasa dengan suku seperti Rawther, Chulia Marrakayar (Merican) dan lain-lain.

Sedia maklum, kesemua kategori Tamil di atas kurang bersatu atas pelbagai faktor dan mereka ikut pegangan, keistimewaan masing-masing.

Tun Sambanthan ada menghuraikan isu pecahan dan masalah ini sebagai salah satu cabaran dihadapi oleh beliau semasa mengambil alih tampuk kepimpinan parti MIC untuk bersama-sama sertai Parti Perikatan dalam usaha mendapatkan kemerdekaan negara.

Golongan elit india ramai yang tidak menyokong Tun Sambanthan kerana beliau lebih bergerak sebagai nasionalis dan fokus pada kebajikan majoriti iaitu buruh-buruh ladang.

Pada pandangan saya, selepas Tun Sambanthan meninggal dunia pada usia yang awal, tiada lagi pemimpin india atau tamil yang berkaliber atau berwawasan tinggi seperti beliau yang fokus pada masalah yang sebenar sehingga sekarang.

Sejak dari merdeka, etnik Malayee, Telugu dan Sikh telah membina struktur sosial atau badan pentadbiran hal ehwal mereka sendiri tanpa mengharapkan MIC.

Mereka melakukan pelbagai usaha dalam mewujudkan kesedaran mengenai bahasa, bangsa, agama serta negara dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Walaupun mereka berkongsi nama ‘india’, mereka menjunjung identiti etnik budaya sendiri dan negara Malaya. Ia sesuatu yang membanggakan kerana sebagai minoriti dalam minoriti, mereka mengambil inisiatif untuk membangunkan komuniti sendiri tanpa mengira kasta atau status sosial.

Tahniah kepada pemimpin mereka. Tetapi lain pulak ceritanya di belah etnik majoriti iaitu Tamil.

Di belah Tamil India, sebilangan mempunyai krisis identiti di mana ada yang terlajak semangat atau identiti ‘keindiaan’ daripada ‘Malaya’, semangat berpuak-puak yang kuat, pentingkan darjat kelas sosial, kasta tinggi tak berkerjasama atau ambil berat yang rendah, ‘inferiority complex’, imaginasi yang tinggi, bermegah sangat dengan sejarah lampau, keistimewaan dan ada yang claim semua, kurang kesedaran mengenai jati diri mahupun sejarah atau perbezaan bahasa, bangsa, dan agama.

Jadi sekarang cuba kamu bayangkan pemikiran sebilangan Pemimpin atau golongan muda berpendidikan yang lahir dari faktor / situasi tersebut? Aah, betul tu, mereka akan membawa gambaran mereka ditindas ataupun ideologi kasta dan kepentingan kelas sosial masing-masing sahaja.

Jadi di mana mereka hendak cari jalan penyelesaian untuk masalah secara menyeluruh? Sebab itulah sampai sekarang tak habis-habis pelbagai dakwaan dan masalah dalam komuniti etnik Tamil tapi jalan penyelesaian ‘illek’ tiada.

Yang sedihnya, apabila kita bincangkan atau kongsikan perkara ini, ramai yang terkena ‘histeria’ tak mampu terima faktanya kerana pada pandangan mereka ‘kami sempurna sangat dan maha tahu segalanya’.

Dah habis sejarah dan sedikit pengenalan masyarakat India ini.

Terpaksa saya kongsikan perkara ini untuk memberi gambaran penuh, kalau tak pening sahabat-sahabat yang membaca apabila saya ulas lanjut nanti.

Jadi sekarang kita pergi ke realitinya iaitu isu sebenar. Kita mulakan dengan perkataan ‘ditindas’ dan ‘second class citizen’.

Ditindas bermakna dinafikan hak asasi atau peluang pendidikan, ekonomi dan sosial dirampas oleh sesuatu pihak. Second class citizen pulak rakyat kelas kedua yang mendapat layanan berbeza.

Masalah perkauman dan sistem pembahagian ekonomi majoriti, minoriti ada di setiap negara, jadi tidak logik lah nak katakan hanya Malaysia bersikap pilih kasih atau perkauman terhadap sesuatu kaum.

Ya tak dinafikan kita mempunyai beberapa masalah dalam negara dan sistem pentadbiran yang tidak begitu efisien tapi di situlah kita harus berganding bahu untuk mencari solusi atau menambahbaik sistem tersebut, perkenalkan dasar yang memberi kebaikan dan lain-lain kepada semua.

Kita ada Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak setiap individu yang bergelar rakyat.

PENJELASAN ISU

Berbalik kepada topik, kita mulakan dengan tangkap layar di bawah.

Berikut adalah antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin atau individu dari kaum india yang mengatakan ditindas. Sebenarnya ada banyak lagi seperti ini yang diutarakan oleh pelbagai pihak tapi saya pilih tiga ini sebab ia lebih menonjol.

Pertama, seorang pemimpin bergelar ‘doktor’ sebuah parti politik terus cop katakan bukan-Melayu sebagai rakyat kelas kedua ditindas kerana adanya peruntukan hak keistimewaan kepada Bumiputera melalui satu perkongsian ciapan seorang lepasan matrikulasi dan pemain hoki india yang mengeluh di media sosial apabila permohonan masuk ke universiti UKM dalam bidang perubatan dengan keputusan 3.88 melalui private entry ditolak.

Keputusan UPU pulak belum diumumkan lagi masa itu dan setiap pengambilan / kemasukan dinilai berdasarkan sistem meritokrasi bukan lagi kuota manakala bidang perubatan perlukan keputusan 4.0.

Bukan sikit jumlah pelajar yang dapat keputusan cemerlang dan berebut untuk pengambilan terhad bidang perubatan tapi pemimpin tersebut nak juga pemain hoki diberi kemasukan pengajian atas alasan mewakili negara dalam bidang sukan.

Ramai juga orang Melayu yang balas, beri jawapan untuk dakwaan beliau sehingga beliau menukar topik dengan menyentuh diskriminasi lain pulak.

Jika mengikut maklumat terkini (25/09/22) Keputusan UPU, pemain hoki sikh tersebut telahpun dapat tempat di UKM untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diingini itu.

Jadi mana perginya sekarang suara-suara terdahulu yang laungkan diri ditindas? Jika ditindas atau dilayan seperti second class citizen bagaimana Malaysia mempunyai lebih 500 Sekolah Vernakular Jenis Kebangsaan Tamil? Bagaimana kita masih ada banyak pelajar india yang ikuti pelbagai bidang di universiti-universiti awam Malaysia ? Bagaimana Lt.Lohappriya dapat belajar dan menjadi wanita india pertama juruterbang TUDM dua tahun lepas ? Bagaimana Cik Janushaa Bala Krishnan menjadi wanita pertama Malaysia yang berjaya tamat pengajian di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat, awal tahun ini ?

Ada banyak contoh lagi yang menunjukkan peluang diberi kepada anak-anak muda india dan ramai dapat manfaatnya. Kalau betul dakwaanya ditindas, pemain hoki tersebut tidak mungkin dapat mewaikili negara ataupun dapat tempat lanjutkan pelajaran.

Seorang pemimpin yang berpelajaran tinggi seharusnya fikir, bertindak berdasarkan fakta, perbincangan matang dan bukanya emosi semata-mata.

Jika anda katakan ada kelemahan dan perlu rombakan dalam sistem pendidikan negara secara amnya ya betul tetapi jika anda katakan terdapat diskriminasi sesebuah kaum, maka ia tidak betul dan lebih kepada perkauman dan tujuan publisiti murahan.

Kedua, sekumpulan artis muda india hasilkan sebuah lagu rap dalam bahasa Melayu.

Bagus usaha mereka buat lagu dalam bahasa kebangsaan. Sebenarnya ramai gembira, kagum dengan bakat dan gaya tersendiri anak-anak muda ini.

Lirik yang pada awalnya meluahkan masalah komuniti india tapi kemudian berubah menjadi sindiran dan tuduhan. Ada mesej sebenarnya tapi terpesong sedikit apabila katakan yang semua masalah komuniti india berpunca dari orang / pihak lain dan ditindas. Aikkk, bagaimana pulak tu? Tak kan semua salah lain dan kita suci pulak?

Ramai tengah berusaha membersihkan minda sebilangan anak-anak muda india yang termakan naratif penindasan tetapi mereka pulak menyemai emosi dan suapkan lagi naratif tersebut.

Terhenti saya sekejap fikir bila entah mentaliti mangsa ini akan berubah ?. Jadi saya akan berikan penjelasan untuk setiap perengan lirik anda yang penuh dengan soalan di bawah ;

Lirik Perengan Pertama :
“Aku jalan jalan di tepi padang,
Aku boleh tengok banyak mata pandang,
Mungkin dalam baju ku ku bawa parang,
Mungkin kulitku hitam mungkin ku pendatang,
Bunga bunga di taman sekarang kini dah layu,
Tepi sikit cuba dengar budak india rap Melayu,
Aku juga fasih bahasa bro sama cam kamu,
Aku lahir sini juga bro tapi aku tetamu,
Tapi apa nak buat merdeka 64
Masuk ke enam lima rasa macam tak sama,
Tokoh tokoh tempatan banyak ambil kesempatan,
Rakyat hidup sengsara,
Bangsaku paling ketara”

Penjelasan :
Realitinya memang orang akan pandang semacam dan takut risau disebabkan rekod pembabitan lelaki india dalam kes jenayah berat yang sangat tinggi walaupun peratus populasi kecil. Kalau diikutkan laporan PDRM, individu atau kongsi gelap India adalah yang paling ganas ‘hardcore’ apabila gaduh sesama dan lakukan aktiviti jenayah berbanding Cina dan Melayu.

Dah bertahun-tahun, tapi kedudukan ranking masih kekal. Apakah peranan anda dalam membendung isu ini ? Belum lagi saya nampak mana-mana pemimpin india juga menyentuh isu ini, kalau menyokong kumpulan kongsi gelap adalah. Bab pendatang, tiada sesiapa yang gelar rakyat berjiwa negara sebagai pendatang, tetapi apabila seorang bekas Menteri Sumber Manusia india mengelar orang Melayu sebagai pendatang dan mempertikaikan asal-usual mereka, apabila segelintir menafikan sejarah orang Melayu, apabila segelinitir menyentuh sensitiviti agama rasmi negara, tidak tahu hormat bahasa rasmi negara, maka dia dilabel sebagai pendatang yang tidak sedar akan identitinya.

Jika kamu berjiwa negara, bertanggungjawab terhadap negara, tidak perlu terasa apabila mendengar perkataan pendatang, tetamu sebab anda adalah anak Malaysia dan tiada sesiapun boleh nafikanya.

Betul apa dikatakan mengenai tokoh tempatan, di saat pemimpin komuniti Cina fokus pada pendidikan, berganding bahu wujudkan TARC serta lakukan pelbagai usaha pembangunan komuniti, pemimpin india kita pulak gaduh sesama untuk kuasa dan pangkat, fokus pada kepentingan sendiri dan terpalit dengan skandal MAIKA.

Tokoh tempatan banyak ambil kesempatan jadi apa usaha kamu untuk lahirkan tokoh atau generasi hadapan yang berkualiti, adakah kamu menjadi contoh yang baik untuk anak-anak muda ? Setahu saya kebanyakan video kamu mempromosikan arak, bahasa serta kandungan yang kurang sopan dan lebih kepada hiburan sahaja berbanding mendidik, jadi adakah ia dapat membuat apa-apa perubahan ?.

Rakyat hidup sengsara terutama india tapi India sendiri ramai tidak mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap isu komuniti sendiri dan mempunyai masalah ego, jadi nak salahkan siapa?. Kita paling ketara disebabkan ada yang susah asimilasi dengan sejarah dan budaya orang asal.

Lirik Perengan Kedua :
Salam kawan-kawan, dengar apa yang ku karang,
India fasih Melayu yeah we gonna make you pandang,
Dua tahun lewat masih tak capai wawasan,
Nak bincang issue perkauman, yang selalu diabaikan,
Semua barang harga tinggi, tak leh jimat duit,
Nak sewa rumah, tapi susah kerana kulit,
SPM A+ aku sapu rata,
Nak biasiswa tapi jadi mangsa quota,
Semua orang pandang keret macam aku apunene,
Bila menentang aku disuruh balik, (balik india),
Treated like setitik nila because of my colour,
Nak sembang isssue ini DM bila-bila,

Penjelasan :
Sebagai rakyat Malaysia, adalah kemestian untuk fasih Bahasa Melayu, ia bukan pilihan untuk meraih perhatian. Lewat kecapi wawasan sebab politik perkauman dan ia disebabkan tiada persefahaman yang kuat antara berbilang bangsa.

Politik menjarakkan kita tetapi apa yang kita buat untuk mendekatkan diri sesama kita atau berbincang mengenai jalan penyelesaian / solusi bersama? Semua menghadapi masalah yang sama iaitu harga tinggi dan tak boleh jimat duit.

Bab sewa rumah dan apunene mari kita tepuk dada tanya selera: sebilangan orang india yang sewa rumah atau apa-apa, tidak jaga harta benda dan lebih jahanamkan apabila mabuk.

Baru-baru ini kejadian di Langkawi di mana permata kita iaitu belia india rendamkan tin bir arak dalam kolam rumah sewa, kemudian viralkan benda tu di tik tok. Tambah lagi, biarkan sampah begitu sahaja semasa checkout dan duduk di atas bumbung kereta sewa sambil minum arak di tengah-tengah jalan.

Faktor pertama kes jenayah yang berikan imej buruk dan faktor kedua masalah-masalah seperti ini, jadi ia secara tidak langsung menimbulkan persepsi yang semua india sebagai tidak bertanggungjawab akibat perbuatan segelintir. Apa yang boleh kita buat untuk menukar perspektif ini brother?. Menentang apa ? Setiap perkara atau isu di Malaysia ada saluran masing-masing, ikut saluran yang betul dan luahkan secara betul berhemah, ia tidak akan menjadi masalah dan tiada sesiapa akan katakan begitu.

Jika kamu asyik merungut, memberontak dan tidak paham isu sebenar, maka disuruh baliklah negara india yang boleh sediakan kamu apa yang diminta. Besar isu ini dan tak perlu DM, boleh adakan forum langsung terus bawa pihak Melayu dan Cina, mari berbincang berdebat sama-sama.

Lirik Perengan Ketiga :
Apa yang ku pertarungkan ? Soalan di minda ?
Yang tarik kaum ku ke bawah, saudara gua,
India tak boleh lihat india berjaya,
Musuh dalam selimut, berkeliaran merata
Ku naik tangga kejayaan jatuh ditimpa,
Ada yang kata ku tak layak, dan ku tak kisah,
Mesej untuk semua, selatan ke utara,
Yang kais pagi makan pagi, kais petang makan penumbuk ditetak parang luka di rusuk,
mata dikaburi darah, bau hati busuk,
inikah legasi kita pada hari esok ?
Bangun… aku minta kau bangun, Bangun, orang ramai tengah menonton, Bangun, siang sudah tiba, buka mata anda,
penamat kisah ini belum lagi ada noktah,

Penjelasan :
Ya betul apa yang kamu pertarungkan tidak dapat difahami oleh sesiapa malah pemimpin india kita sendiri. Setiap orang ada pemahaman masing-masing, pertubuhan kasta dan kelas sosial masing-masing yang begitu banyak pecahan.

Yang tarik kaum sendiri ke bawah bukan berlaku dalam komuniti India sahaja tapi banyak dalam komuniti Melayu juga. Dengki dan sakiti sesama sendiri semakin parah, mari kita cari solusi, sebarkan kesedaran agar ia tidak terus merosakan generasi seterusnya. Tapi itulah, belum ada lagi usaha yang efektif untuk ini.

Ramai bakat, kita dah hilang akibat pergaduhan, dadah, isu kongsi gelap dan hidup berpuak-puak? Berapa ramai keluarga musnah akibat perkara ini ? Bangkit dan bangun buka mata tengok masalah yang tersembunyi jauh ke dalam ini.

Lirik Perengan Keempat : Assalamualaikun Walaikum Salam,
Budak india genius macam Abdul Kalam,
(Abdul Kalam seorang saintis terkenal tamil muslim di India)
Scholarship ketta paru kodupa salam
(Cuba minta biasiswa, mereka akan beri salam)
Inthe alam-le tamizhan budak haram,
(Dalam alam ini budak tamil luarbiasa / tak dapat dikawal)
Savadi sambar dripping like a Amber,
(Savadi sambar – dhal yang gempak)
Justice for Johny,
Macam mana member ? Cakap cakap macam poet ?
Justice sampai hangat
Sollaran namma boss ku, suthela vacha sangat,
(Dia kata boss kita, kena sula)
Solli solli partha jailu podura oru thapa,
(Cakap-cakap juga masuk jail penjara)
Vambu vimbu podulena vayuleh varum oreyy thaPa,
(Kalau tak masuk campur masalah, akan keluar kata-kata kesat dari mulut)
Tapi thadimari / thadumari vakiyam edutha yenna thappa ?
(Susah payah buat perkataan adakah salah ?)
Yoshi solli puriye vachi vazlnthe vazhakayi periya thapa ?,
(Adakah salah fikir dan beritahu / jelaskan kehidupan yang dihidupi ?)
Poranthe vanthe adaiyalam oru mayamana vethanai,
inthe nerram vantha perachainai oru mayakamana sothanai,
(Identiti kelahiran seperti satu ilusi yang sakit, saat ini masalah yang dihadapi adalah satu ujian / cabaran)
ithe solli parru kashtam-ma, kural kuddu sathama-ma, Naatil oru nasthama, athu mari vidum, oru sadtham ma ?
(Cuba kamu cakap kesusahan ini, suaralah berlaunglah dengan kuat, ada yang rugi dalam negara ?, ia akan berubah, apa undang-undang)

Nota: Terjemahan secara agak-agak sahaja dari Tamil ke bahasa Melayu sebab cara sebutan dan perkataan yang tidak jelas,kabur oleh penyanyi rap terakhir itu.

Penjelasan :
Biasisa ada diberikan untuk pelajar india tetapi peratusnya kurang ikut populasi dan beberapa faktor. Tidak boleh dikatakan langsung tak dapat. Apa yang boleh dilakukan untuk tambahkan biasiswa?

Pernyataan ini sebenarnya perlu ditanya kepada orang kita sendiri, jika sahabat Cina melalui pernigaan dan politik mampu berikan biasiswa, kenapa ahli perniagaan, syarikat dan parti politik kaum india tidak boleh menyediakan kemudahan tersebut padahal semua berada di status yang tinggi?

Kalau sumbangan atau urusan bab kuil, senang-senang boleh keluarkan duit sampai mencecah ribuan ringgit tapi untuk pendidikan bab sosial entah semua hilang. Salah siapa? Budak India memang sukar dikawal dan kita sudah lihatnya di isu kejadian kuil Seafield dan rekod kes kes jenayah di PDRM.

Telah turun temurun kita disuruh untuk mencari penyelesaian secara emosi, turun-temurun kita disuap dengan naratif ditindas oleh ibu bapa dan sekeliling kita, turun temurun kita disuap dengan naratif claim budaya sejarah orang asal, turun temurun kita diserapkan dengan pelbagai kata-kata yang menyalahkan pihak lain atas kesengsaraan komuniti kita tetapi sampai sekarang tidak ada pemahaman untuk mencari jalan penyelesaian secara intelektual, secara menyeluruh ataupun usaha dari komuniti sendiri untuk mencari punca masalah dan jalan penyelesaianya daripada bergantung kepada pihak lain.

Jadi apabila saudara menyeru orang kita agar bersuara dan tunjukkan ketidakpuasan melalui emosi, adakah ia akan memberi apa-apa harapan atau perubahan? Saya rasa tidak dan ia hanya akan memberi sarapan pagi sahaja.

Dr.APJ Abdul Kalam adalah seorang saintis aeroangkasa tersohor dan juga bekas presiden negara India. Apabila gunakan nama beliau semestinya anda akan tahu personaliti beliau. Beliau seorang Tamil Muslim yang mengecapi kejayaan besar dengan kerja keras beliau tanpa mengharapkan apa-apa dari sesiapa.

Beliau seorang yang arif mengenai sejarah Tamil dan mendalami karya-karya kesusateraan Tamil tetapi sedihnya realiti, sebilangan besar golongan seperti anda yang hanya laungkan “Tamilanda, Tamilanda!” sebenarnya tidak tahu dengan lanjut apa sejarah benar, kisah di sebalik orang-orang penting dalam Tamadun Tamil dan apa sebenarnya tengah berlaku di India sekarang.

Sebab itu sampai sekarang ada yang percaya atau ‘claim / mendakwa’ orang Tamil atau India ialah penduduk asal tanah ini dan taksub dengan perkataan ‘Chola’ dengan menafikan Tamadun Orang Nusantara dan Melayu yang akhirnya memberi pandangan negatif kepada Tamil keseluruhanya.

Isu Ketiga, apabila disebut penindasan semestinya individu ini akan terbayang dalam fikiran yang memulakan trend atau penggunaan kata ‘ditindas’.

Seorang peguam, salah seorang watak penting dalam protes jalanan 2007, ahli politik yang pernah berkhidmat dia bawah dua Kerajaan berlainan iaitu BN dan PH, malah pernah menjadi menteri baru-baru ini. Walaupun video lama pada tahun 2007, kenyataan tidak tepat beliau kepada sebuah stesen TV Belanda masih segar dalam minda dan diwarisi oleh segelintir.

Antara dakwaan beliau ialah berlaku pelanggaran hak asasi yang serius di Malaysia, kaum india di Malaysia dinafikan hak asasi dalam pelbagai sektor, dipaksa tukar agama, beribu-ribu kuil dirobohkan dan beliau salahkan hak keistimewaan orang Melayu pulak atas krisis dihadapi.

Tambah lagi, kumpulan beliau juga pernah mendakwa yang hampir 200 ribu orang kaum india Malaysia tiada kad pengenalan tetapi sampai sekarang tidak dapat buktikan dakwaan tersebut atau memberikan bukti yang kukuh.

Eh binggung saya sekali lagi dan timbul satu soalan dalam minda;

“apa kena mengena hak keistimewaan dengan masalah? Bukan ke ia sebahagian dari sejarah dan persetujuan oleh pemimpin kita semasa mendapatkan kemerdekaan, membentuk Malaysia?. Kaum Cina pun migran juga bagaimana mereka dapat berjaya dan kenapa mereka tak ada mentaliti merungut sebegini ?”.

Mari kita analisis sedikit dakwaan-dakwaan di atas:

1) Pantas ke hadapan, walaupun populasi yang kecil, kaum india mempunyai peratus golongan profesionals yang tinggi, banyak ahli perniagaan dan kenamaan yang mempunyai harta dan hubungan politik di sini dan India. Di Tamil Nadu sahaja boleh dilihat nama ‘Dato-Dato’ terpampang di bangunan dan kuil-kuil yang memberikan sumbangan.

2) Peratus golongan pelajar yang mendapat pendidikan tinggi di institut awam mahupun swasta juga adalah tinggi.

3) Walaupun terdapat dakwaan banyak kuil dirobohkan tetapi jumlah kuil berdaftar yang ada di Malaysia masih banyak. Ada je kuil di setiap kawasan yang mempunyai populasi orang india hindu. Yang kuil dirobohkan ialah yang muncul tiba-tiba dan katakan ia 200 tahun pulak, yang duduk di tanah kerajaan dan yang tidak mempunyai apa-apa rekod pengurusan.

4) Di setiap bandar yang padat dengan populasi dan perniagaan orang india, di situ identiti mereka dihargai dan diberikan nama ‘Little India’. Contoh terbaik ialah ‘Little India Brickfields, Little India Klang, Little India Ipoh’ dan banyak lagi.

5) Malaysia juga adalah satu-satunya negara di luar India, malah Tamil Nadu yang memberikan cuti umum sempena Thaipusam. Kita juga mempunyai Sekolah Rendah Jenis Tamil.

6) Orang india diberi peluang untuk menjawat jawatan penting dan tertinggi dalam Kerajaan serta badan berkanun selaras dengan hak yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, kita juga mempunyai sejumlah orang yang berkerja di sektor perkhidmatan awam.

Jadi persoalanya bekas tuan menteri, di mananya rasis dan penindasan spesifik anda katakan?

Adakah kita dapat mengecapi / dapat perkara-perkara di atas jika kita ditindas dan dinafikan hak asasi?

Walaupun sudah 15 tahun sejak anda berikan wawancara tersebut, dakwaan-dakwaan anda masih mekar dan diulang-ulang oleh segelintir termasuk anda sendiri.

Yang parahnya naratif tersebut jauh terlekat dalam hati segelintir terutama kononya pemimpin muda sehingga setiap kali timbul sesuatu isu, terus laungkan kata keramat ‘rasis’ dan ‘penindasan’ tanpa fikirkan solusi.

Jika benar ada penindasan dan kita dilayan seperti rakyat kelas kedua tidak mungkin anda dapat jawatan dalam dua kerajaan yang berbeza, tidak mungkin anda dapat jadi peguam dan tidak juga anda dapat hidup dengan tenang, aman sekarang.

Sebelum kita menuding jari ke arah pihak lain, adalah baik kita selesaikan masalah sendiri yang semakin parah. Di bawah adalah sedikit contoh masalah yang boleh anda fokus atau sediakan cadangan solusi;

1) Peratus populasi kaum india merosot dari 7 ke 6.8%. Masih ramai belia india kekurangan kesedaran mengenai kepentingan mengundi, daftar sebagai pengundi dan banci penduduk. Saya melihat dengan mata sendiri kerenah segelintir yang mepunyai sikap tidak peduli mengenai perkara ini semasa turut serta dengan Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kempen pasukan mereka di Kuala Lumpur.

2) Kaum India sebenarnya mempunyai pelbagai pecahan dan pecahan ini sebenarnya memberi kesan kepada komuniti itu sendiri. Perbezaan budaya, bahasa, kelas sosial dan kasta menjadikan setiap etnik mempunyai kepentingan dan ideologi yang berlainan. Yang paling parah ialah etnik Tamil apabila wujudnya beberapa pecahan lagi berasaskan kasta. Kemudian pecahan ini melalui pertubuhan rasmi yang didaftarkan memberi fokus atau kepentingan kepada kelas, kasta sendiri daripada pengurusan kuil hinggalah pemilihan ketua parti politik.

3) Masjid, Gereja dan Tokong menjadi tempat servis kepada penganutnya di mana mereka memberikan pelbagai perkhidmatan, bantuan dan lakukan aktiviti kemasyarakatan tetapi kebanyakan kuil-kuil pulak masih terhad dengan upacara sembahyang dan pooja-pooja. Kenapa Kuil ini tidak main peranan dalam aktiviti kemasyarakatan, kesedaran?

Suka atau tak, kebenaranya ialah ramai orang india hindu memeluk agama islam bukan disebabkan paksaan atau godaan apa-apa tetapi disebabkan wujudnya beberapa isu seperti kasta dan diskriminasi dalam agama sedia ada (bab ini saya akan huraikan dalam artikel lain berdasarkan kajian yang saya lakukan dengan kawan di Tamil Nadu, India dan Switzerland).

4) Walaupun ada sebilangan yang mempunyai kesedaran, rasa bertanggungjawab terhadap komuniti dan melakukan pelbagai usaha namun bilangan mereka kecil dibandingkan dengan majoriti yang lepas tangan dengan katakan “itu tanggungjawab Kerajaan!, apa saya boleh buat?” Sebilangan lebih menjurus kepada budaya hedonisme dan sebilangan pulak fahaman liberalisme.

5) Isu gangsterisme, kongsi gelap dan masalah sosial yang tiada kesudahan.

KESIMPULAN

Kesimpulanya apa yang boleh dikatakan ialah tiada sesiapa yang menindas sesiapa tetapi perkataan ‘ditindas’ akan bergema untuk tempoh yang lama lagi kerana kita masih ada geng ‘segelintir’ itu yang belum dapat kesedaran dan hidup dalam ilusi.

Mereka akan sentiasa laungkan perkataan tersebut demi kepentingan sendiri dan dapatkan perhatian semua tanpa berikan apa-apa solusi.

Mereka juga akan sentiasa salahkan ‘hak dan keistimewaan Bumiputera’ sebagai punca masalah, mereka juga akan sentiasa bandingkan negara kita dengan negara lain dan mereka juga sentiasa tidak puas hati dengan semua perkara.

Jadi apa yang kita boleh buat di sini ialah terus lakukan kesedaran dan terus ‘sekolahkan’ yang tiada kesedaran.

Akhir kata, saya ingin sarankan pada geng ‘segelintir’ ini agar ambil masa dan baca balik sejarah, imbas kembali identiti mereka, dan paling penting dalami apa yang dikatakan oleh Tun Sambanthan dalam perjuangan beliau memperkasakan komuniti India Malaya dengan semangat kenegaraan yang tinggi. Kita sendiri perlu bersedia untuk berdialog bagi mengenal pasti isu akar umbi dalam komuniti kita yang mempunyai banyak jurang perbezaan dan mencari jalan penyelesaikan bagi masalah krisis identiti.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.