Suara Lelaki: Sinar Baharu Kesedaran Emosi dan Persaudaraan Lelaki
Pada pagi Ahad 12 Oktober 2025 yang indah di Seri Kembangan, berlangsung satu peristiwa yang luar biasa — kelihatan kecil di permukaan, namun membawa makna kebangkitan yang telah lama tertunda.
Inisiatif pertama di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada kesihatan emosi dan perjuangan dalaman lelaki pelbagai latar belakang, bertajuk “Suara Lelaki: Ruang Selamat Untuk Didengari, Disokong & Membangun,” telah berjaya dilaksanakan.

Program ini bukan sekadar satu lagi inisiatif kesihatan mental. Ia merupakan langkah perintis ke wilayah emosi yang jarang diterokai — satu usaha untuk membina ruang yang selamat, peribadi, dan bebas dari menghakimi, di mana lelaki boleh didengar, meluah, berbicara, merenung diri, dan mencari makna hidup.
Diketuai oleh aktivis pelik En. Krishna Krish, program ini mendapat sokongan penuh daripada The International Dialogue Centre (KAICIID) dan Caravanserai Collective @ Cerita, dengan kerjasama rakan utama: Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hidayah Centre Foundation (Bandar Tun Razak), Pemuda GEMA Malaysia, dan SEA Y4H – Southeast Asian Youth For Humanity.
Lelaki Pelbagai Latar Belakang, Satu Nilai Kemanusiaan Bersama
Program perintis separuh hari ini menghimpunkan 20 orang peserta lelaki berusia antara 25 hingga 65 tahun, daripada jumlah pendaftaran awal seramai 30 orang mewakili kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia: Melayu, Cina, India dan Borneo; Muslim, Kristian, Hindu dan Buddha.
Walaupun datang daripada latar yang berbeza, mereka duduk bersebelahan, bertegur sapa dalam suasana tenang, menyedari bahawa perjalanan emosi mereka sebenarnya mempunyai persamaan yang mendalam.
Dua pemerhati senior daripada organisasi tempatan turut hadir sebagai saksi, melihat sendiri bagaimana lelaki, yang sering dilabel sebagai “kuat” atau “tabah”, mampu membuka hati apabila diberi ruang, kaedah dan kepercayaan yang sesuai.


Sesi ini memfokuskan kesihatan mental lelaki, pengurusan emosi dan perspektif, dengan pendekatan kreatif yang menggabungkan penceritaan (storytelling), dialog silang budaya (ICD), antara generasi (IGD) dan antara agama (IRD).
Setiap pendekatan yang dipacu data bukan sahaja merangsang minda, tetapi turut menyentuh hati — membantu lelaki mengenal emosi mereka dengan kemanusiaan sejagat serta berpaksikan asas psikologi yang kukuh.
Ruang Selamat, Sistem Kod & Kebenaran Tanpa Tapisan
Kerahsiaan menjadi keutamaan. Setiap peserta hanya dikenali melalui nama kod unik, membolehkan mereka meluahkan perasaan dengan bebas tanpa rasa takut atau dihakimi. Hanya nilai dalam cerita masing-masing menjadi identiti penghubung.
Sebelum sesi dialog utama bermula, para peserta menjalani beberapa aktiviti visual, fizikal, pernafasan dan kraf yang melambangkan dunia dalaman mereka, latihan yang membantu membuka emosi yang lama terpendam di bawah tekanan hidup seharian.



Program dimulakan dengan sesi “Why We Are Here” (Mengapa Kita Di Sini) diikuti oleh “Piagam Persaudaraan” (Brotherhood Charter) — asas simbolik bagi hari tersebut. Para peserta, terdiri daripada golongan profesional, ahli terapi, dan lelaki biasa, muda dan berusia diperkenalkan kepada satu set prinsip bersama dan sempadan saling menghormati. Piagam ini diinspirasikan oleh Perlembagaan Madinah, contoh sejarah yang bukan sahaja memberi garis panduan hidup bersama, tetapi juga membina persefahaman dan sempadan sihat antara Muslim dan bukan Muslim.
Selepas itu, aktiviti “Identity Cloud” dijalankan, di mana peserta meneroka dan berkongsi nilai-nilai teras diri masing-masing. Latihan ini membuka banyak penemuan — ramai menyedari keunikan dan keistimewaan diri masing-masing.



Kemudian diteruskan dengan Pameran “Cerita & Cabaran Lelaki”, yang memaparkan kompilasi berita benar mengenai isu-isu lelaki di Malaysia. Kesan emosinya mendalam; sebahagian peserta terkejut dan tersentuh apabila melihat sejauh mana isu-isu ini menjejaskan kehidupan lelaki dalam masyarakat masa kini.
Sebelum masuk dalam ke program, peserta ditunjukkan satu demonstrasi ringkas mengenai ‘perspektif’ dan ‘persepsi’ menggunakan bola berwarna. Aktiviti ini direka khusus untuk menunjukkan betapa pentingnya dua elemen ini dalam proses pembelajaran dan dalam cara lelaki membuat keputusan.
Selepas rehat pendek, sesi diteruskan dengan aktiviti “Solidarity Circle” : detik perubahan di mana tembok emosi mula runtuh. Melalui renungan khusus, peserta mula menyedari beban senyap yang dipikul ramai lelaki, dan bagaimana kerentanan yang dikongsi boleh membina kepercayaan serta persaudaraan walau antara orang asing.



Kesemua aktiviti ini menjadi landasan emosi kepada sesi utama iaitu ‘Story Circle Dialogue’. Di sinilah lelaki mula berbicara dari hati, mendengar dengan khusyuk, ramai antara mereka buat kali pertama dalam hidup. Krish memulakan sesi dengan menggunakan satu patung khas untuk berkongsi kisah trauma zaman kanak-kanaknya : satu tindakan yang memecah kesunyian dan mendorong peserta lain untuk turut berkongsi pendaman mereka. Apa yang berlaku selepas itu adalah detik penuh emosi dan jiwa; mengalir air mata lelaki muda mahupun berusia — melepaskan kesakitan, kenangan, dan rasa syukur yang lama disimpan.


Selepas sesi itu, semua mengambil masa untuk menenangkan diri. Suasana dipenuhi rasa lega dan keakraban yang mendalam apabila para peserta sendiri merasmikan pelancaran simbolik inisiatif “Suara Lelaki” dan siri dialog penceritaan tersebut. Ia menjadi detik penuh makna, satu sambutan terhadap keberanian, solidariti-sokongan, dan kesatuan.



Sebelum program berakhir, Krish memperkenalkan Toolkit Kesihatan Mental Lelaki yang turut mengandungi alat sokongan seperti ‘Roda Emosi’ & ‘5R’ yang diberikan kepada setiap peserta, sambil menerangkan bagaimana mereka boleh meneruskan perjalanan pembangunan diri masing-masing.
Dari Sunyi ke Solidariti
Apabila ditanya tentang tujuan dan makna di sebalik inisiatif ini, Krish terdiam seketika sebelum menjawab perlahan:
“Ini bukan tentang saya atau mana-mana organisasi. Ini tentang kisah-kisah berharga — emosi tulus yang kita saksikan dalam bilik itu. Perasaan yang dikongsi oleh majoriti peserta, tanpa mengira usia atau bangsa, amat menyentuh. Buat pertama kali, mereka rasa dilihat dan didengari, bukan sebagai pemimpin atau pekerja, tetapi sebagai manusia.”
Beliau menambah:
“Respons para peserta, semasa dan selepas program, amat luar biasa. Ada yang masih tinggal lama di sini untuk mengucapkan terima kasih. Saya hanya mampu bersyukur kepada Tuhan dan semua jiwa baik yang membantu kami sampai ke tahap ini terutamanya rakan-rakan pelbagai kaum dan fasilitator bersama saya iaitu Joshua, Terry, Fai, dan Ikram. Namun ini hanyalah permulaan. Banyak lagi yang bakal kami lakukan.”



Tercetak pada poster program ialah ungkapan yang menjadi nadi inisiatif ini:
“Komuniti menanggung derita. Bukan kerana amukan lelaki yang sakit. Tapi kurangnya suara lelaki yang pulih”
Menurut Krish, kata-kata ini bukan sekadar slogan, ia adalah kebenaran pahit yang mencerminkan realiti sosial di Malaysia, di mana isu lelaki sering diabaikan sehingga segalanya terlambat apabila muncul kejadian/jenayah serius melibatkan tindakan lelaki dan kurangnya platform untuk lelaki pulih menyumbang balik kepada komuniti.


“Kita telah membina masyarakat yang mengajar lelaki untuk menahan, bukan meluahkan. Namun diam yang menyembunyikan kesakitan itu jugalah yang memecahkan keluarga, persahabatan, dan komuniti. Sebab itu ruang seperti ini penting — bukan untuk ‘memperbaiki’ lelaki, tetapi untuk mendengar, membantu mereka sebelum mereka rebah.”
“Kisah-Cerita : menyatukan kita melangkaui segala perbezaan. Dialog : membuka ruang untuk saling memahami. Gabungan kedua-keduanya melahirkan empati : sesuatu yang sangat diperlukan lelaki tetapi jarang mereka rasai. Melalui perintis ini, kita berjaya buktikan bahawa ruang selamat dan inklusif untuk lelaki daripada pelbagai latar adalah sesuatu yang boleh diwujudkan.”
Jambatan Antara Lelaki dan Kesihatan Mental
Inspirasi Krish tidak datang dalam sekelip mata. Dengan pengalaman aktivisme lebih sedekad di Malaysia dan Asia Tenggara, beliau menyedari satu corak yang berulang: program kesihatan mental profesional memang penting, namun sering gagal menarik minat lelaki biasa.
“Ramai lelaki masih menjauhkan diri daripada program sebegini kerana stigma,” jelas Krish.
“Semua orang mahu memberi nasihat, arahan kepada lelaki tetapi jarang ada yang benar-benar mendengar.
Kita tidak boleh mengharapkan lelaki menyertai program kesihatan mental jika mereka tidak pernah merasai bagaimana rasanya didengari.”
Titik perubahan datang sewaktu Persidangan KAICIID Southeast Asia Dialogue Cities Conference di Davao, Filipina (2024), di mana Krish memain peranan sebagai Fasilitator Kumpulan Belia dan Penolong Penyelaras Bandar Delegasi Kuala Lumpur.


“Dalam satu sesi berasingan, kumpulan wanita menyuarakan kebimbangan tentang ketidakseimbangan dalam pemerkasaan, bahawa lelaki juga sebenarnya menderita dalam diam. Ketika itu saya benar-benar tersentuh. Ia membuatkan saya merenung semula kehidupan saya : perjalanan yang pernah penuh trauma, keganasan, dan akhirnya penyembuhan. Saya sedar, tidak semua lelaki mendapat peluang kedua seperti saya. Maka saya bertekad untuk memulakan sesuatu agar lelaki lain juga dapat menemui jalan mereka sebelum terlambat.”
Dengan sokongan insan-insan baik, profesor, kaunselor dan pakar psikiatri kenalan, Krish memulakan inisiatif penyelidikan untuk mengkaji corak emosi lelaki dan wanita. Selepas menerima geran mini daripada KAICIID dan Cerita Caravan, beliau menumpukan masa beberapa bulan untuk latihan dan persediaan sebelum melancarkan projek perintis bermakna penting ini.
“Kami bukan menggantikan perkhidmatan kesihatan mental profesional sedia ada,” tegasnya.
“Kami ingin membina jambatan inovasi menghubungkan lelaki biasa dengan kesedaran, empati, dan sokongan profesional yang mudah dicapai.”

Lebih Dari Perintis: Ke Arah Inisiatif Lelaki Baharu
Program “Suara Lelaki” ini berfungsi sebagai projek perintis di bawah inisiatif yang lebih besar — “Understanding Men Program” yang kini berada dalam fasa kajian. Projek ini menjadi medan ujian untuk mengumpul kisah, pengalaman, maklum balas dan data sebagai asas bagi mendapatkan lebih banyak sokongan dan sumber untuk memperluaskan inisiatif ini ke bandar lain serta membangunkan kem berskala penuh.
Visinya berani tetapi mudah: mewujudkan ekosistem mampan selamat, peribadi, dan bebas penilaian di mana lelaki boleh meluahkan perasaan, belajar, dan sembuh bersama — menangani isu akar umbi seperti penindasan emosi, kemarahan tidak terkawal, trauma zaman kanak-kanak, ketiadaan figura ayah, ketagihan, pengasingan sosial dan maskuliniti toksik.
Sebagai sebahagian komitmen pasca program, setiap peserta menerima Toolkit Kesihatan Mental Lelaki, dengan perancangan untuk membentuk kumpulan sokongan berterusan dan memperluaskan siri dialog ini ke bandar-bandar lain di Malaysia, seterusnya di bandar Asia Tenggara lain dan akhirnya bekerjasama dengan Organisasi Kesihatan Mental Lelaki Global. Inisiatif ini juga mempunyai visi untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan serta institusi kesihatan mental bagi pelaksanaan berskala besar.

Krish menutup sesi dengan refleksi yang menyentuh hati semua yang hadir:
“Lelaki yang berdaya akan mengangkat, melindungi dan memperkasa wanita di sekelilingnya.
Itulah makna sebenar kekuatan dan tujuan.
Apabila lelaki sembuh, keluarga sembuh dan apabila keluarga sembuh, komuniti bangkit.”
Beliau senyum kecil sebelum menambah:
“Lelaki berdaya mempunyai kuasa untuk membentuk semula komuniti mereka, agama, negara dan dunia.”
Kenali & Sambung Perjalanan
Bagi sahabat-sahabat yang ingin menyertai siri “Suara Lelaki” yang seterusnya atau mengikuti perkembangan “Program Memahami Lelaki,” anda boleh ikuti laman media sosial Krishna Krish di @krishnakrisz12